Pages

Thursday, July 9, 2015

Random: Family Appreciation Post


Have you ever just looked at your parents and thought,
"Alhamdulillah, I'm born into this family"?


Wednesday, July 8, 2015

Momentum Ramadhan

Salam.

Apa itu momentum?

Momentum ialah suatu daya yang akan membuatkan sesuatu yang bergerak itu terus bergerak. Kalau ikut apa yang kita pelajari di sekolah dalam subjek Fizik dulu, formula momentum ialah mass (jisim) didarabkan dengan velocity (halaju). Untuk menghasilkan momentum yang kuat, mass dan velocity sesuatu objek itu perlu kuat juga. Dengan itu, objek itu akan terus bergerak tanpa berhenti.


Muslim Juga Ada Momentum

Sebagaimana momentum boleh bergerak secara fizik, momentum juga boleh berlaku dalam perlakuan kita sehari-hari. Sebagai manusia, kita sudah jelas bahawa tugas kita di muka bumi ini ialah sebagai khalifah [2:30] dan hamba Allah [51:56]. Dalam jangka masa hidup kita yang singkat ini juga, iman kita mudah berkurang dan bertambah. Oleh itu, bagi memastikan iman kita sentiasa berada di paras selamat, kita perlu memperbanyakkan amal ibadah kita. Insya-Allah, amal ibadah yang ikhlas akan membentuk taqwa dalam diri kita. Dengan taqwa itulah kita akan dapat menjaga iman kita. Bagaimana? Jawapannya ada di dalam firman Allah s.w.t:
“Wahai orang-orang yang beriman! Jika kamu bertaqwa kepada Allah, nescaya Ia mengadakan bagi kamu (petunjuk) yang membezakan antara yang benar dengan yang salah, dan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu, serta mengampunkan (dosa-dosa) kamu. Dan Allah (sememangnya) mempunyai limpah kurnia yang besar.”
[Al-Anfal, 8: 29]
Taqwa lah yang akan memandu kita untuk melakukan amal yang baik dan mengelakkan maksiat dan perkara-perkara yang lagha. Taqwa jugalah yang akan menggerakkan kita untuk sentiasa bersemangat dalam beribadah dan beramal. Dalam erti kata lain, taqwa ialah momentum kita.


Ramadhan: Bulan Optimum Membina Taqwa

Seperti yang kita tahu, bulan Ramadhan ini suasananya sangat istimewa. Antaranya, dalam bulan inilah diwajibkan ibadah puasa. Cuba ingat balik firman Allah swt. tentang puasa ni:
“Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.”
[Al-Baqarah, 2:183]
Dengan terang lagi bersuluhnya di situ Allah swt. nyatakan bahawa salah satu jalan menuju taqwa ialah dengan berpuasa. Dan dalam bulan Ramadhan inilah, Allah swt. mewajibkan ibadah puasa ini yang akan membawa kita menuju taqwa!

Bukan itu sahaja, dalam bulan Ramadhan ni juga, pintu syurga dibuka seluas-luasnya, pintu neraka ditutup dengan dikurung syaitan di dalamnya, pahala amalan dilipatgandakan, doa orang-orang yang berpuasa antara doa yang mustajab dan terdapat juga lailatul qadr iaitu malam yang lebih baik dari seribu bulan. Mana ada suasana sebegini di bulan-bulan lain. Serius, bulan Ramadhan je yang special begini! Suasana beginilah yang paling optimum untuk kita bina taqwa.

Kerana itulah kita sangat digalakkan untuk memperbanyakkan beribadah di bulan ini dan mengurangkan perkara-perkara lagha. Pada masa ini, kerana syaitan dibelenggu, kita hanya tinggal melawan nafsu sendiri. Pada masa ini, kita boleh mengenal pasti sebanyak mana diri kita yang sebenarnya mampu beribadah.

“Oh, rupanya aku boleh solat sunat banyak-banyak lepas Isya’,”
“Oh, rupanya aku boleh qiam dengan kerap,”
“Oh, rupanya aku boleh puasa sebulan berturut-turut,”
“Oh, rupanya aku boleh tak catch up dengan gosip artis,”
“Oh, rupanya aku boleh main game kurang sejam,”


Momentum Ramadhan

Kemampuan menambah pahala sebanyak-banyaknya dan mengurangkan perkara-perkara lagha ini baru dikenal pasti dalam bulan Ramadhan. Itulah diri kita yang sebenar. Kita mampu jadi sebaik-baiknya. Hanya perlu bersabar dan kuat menentang nafsu diri. Ikhlaskan niat setiap kali sebelum mula beribadah. Kita mahu keredhaan Allah. Kita mahu menuju taqwa.

Percayalah, apabila kita cuba sehabis mungkin dengan sebaik-baiknya, akan terwujud sebuah momentum yang kuat, yang akan mendorong kita untuk terus beramal ibadah, walaupun Ramadhan telah pergi. Itulah taqwa yang dicapai, yang kita bentuk ketika Ramadhan untuk menjadi bekal dalam menjalani bulan-bulan seterusnya.
“…dan hendaklah kamu membawa bekal dengan cukupnya kerana sesungguhnya sebaik-baik bekal itu ialah taqwa; dan bertaqwalah kepadaKu wahai orang-orang yang berakal (yang dapat memikir dan memahaminya).”
[Al-Baqarah, 2: 197]

Dengan momentum itulah, bukan mudah untuk kita terus berhenti daripada melakukan amal ibadah yang banyak. Kalau amal terhenti pun, momentum itu akan membuatkan hati kita rasa tidak selesa.
Walaubagaimanapun, momentum itu takkan berjalan secara konstan. Lumrah kehidupan, akan ada ujian-ujian yang menjadi resistance yang mengurangkan momentum. Apabila Ramadhan pergi, syaitan akan kembali menganggu. Jarak yang semakin jauh dengan Ramadhan juga boleh membuatkan kita lalai. Allah swt. juga akan terus menguji kita dengan berbagai-bagai ujian bagi membezakan siapa yang betul-betul beriman dan siapa yang tidak.

"Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: "Kami beriman", sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)? Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang diketahuiNya tentang orang-orang yang berdusta."
[Al-Ankabut, 29: 2-3]

Apabila momentum Ramadhan yang dihasilkan itu kuat, pastilah kita akan dapat melalui ujian-ujian selepas Ramadhan dengan baik, sehingga dipertemukan dengan Ramadhan lagi; itupun kalau Allah izinkan lagi.

Maka, oleh kerana selepas Ramadhan kita akan melalui sebelas bulan yang penuh dengan ujian sebelum Ramadhan seterusnya, wajarlah kita membina momentum yang kuat sementara Ramadhan kali ini masih berbaki.

Jadi, mari tanya diri sendiri: bagaimana momentum yang kita berjaya hasilkan setakat ini? Adakah amalan kita cukup untuk mencapai taqwa sebelum Ramadhan berakhir? Bagaimana keadaan hati dan iman kita sekarang? Bagaimana hubungan kita dengan Allah swt. sekarang?

Akhir kata, sebelum ana mengakhiri penulisan ini, ada doa daripada sebuah hadis yang boleh kita amalkan untuk mencapai taqwa.
Dari Ibnu Mas'ud r.a. bahwasanya Nabi s.a.w. bersabda:
اللّهمّ إنّي أسألك الهدى والتّقى والعفاف والغنى
"Ya Allah, sesungguhnya aku memohonkan padaMu akan petunjuk, ketaqwaan, menahan diri dari apa-apa yang tidak diperkenankan serta kekayaan hati."

(Riwayat Muslim)
Semoga Allah swt. memberikan kekuatan kepada kita dalam usaha-usaha untuk mencapai taqwa. Selamat menjalani hari-hari terakhir Ramadhan. Selamat memburu lailatul qadr.

------------------------------------------------------------------

This is an article I posted for IKRAM Siswa. The original webpage is here. [click]

Wassalam.